22 Ogos 2009 - 1 Ramadhan 1430
1. Difardhukan Puasa dan ibadah-ibadah khusus yang lain;
2. Dibukakan pintu rahmat dan tertutup pintu-pintu kehinaan;
3. Diturunkan Al Quran sebagai manual hidup manusia;
4. Laylatul Qadar (Malam Keutamaan/Kemuliaan) yang lebih baik dari seribu bulan
Akhirnya, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Rasulullah SAW:
Bulan Ramadhan adalah bulan paling istimewa antara 12 bulan dalam kalendar Islam. Keistimewaan bulan ini bukanlah kerana hikayat sejarah tertentu, tetapi kerana Ramadhan adalah pakej lengkap untuk membangunkan seluruh potensi manusia; fizikal, spiritual, intelek dan emosi dan modul teras di dalam Ramadhan adalah PUASA. Para ilmuan Islam meletakkan berpuluh-puluh nama dan gelaran untuk bulan yang mulia ini untuk menunjukkan betapa saratnya Bulan ini dengan keistimewaan daripada Allah SWT.
Salah satu sunnah yang sewajarnya kita hidupkan sebelum melangkah ke gerbang Ramadhan adalah dengan menyebarkan ucapan tahniah dan menzahirkan kegembiraan atas kunjungan bulan yang agung dan barakah ini. Ramadhan adalah tanda kasih sayang Allah kepada umat Muhammad yang tidak pernah dianugerahkan kepada mana-mana umat yang terdahulu. Antara ucapan yang biasanya diucapkan oleh para Salaf adalah ucapan “Ramadhan Kareem” yang bermaksud “Selamat menyambut Ramadhan yang mulia”.
Antara kelebihan yang terdapat pada bulan ini yang sewajarnya kita hayati dan meraihnya adalah seperti berikut:
1. Difardhukan Puasa dan ibadah-ibadah khusus yang lain;
Puasa adalah ibadah teras dalam bulan Ramadhan. Puasa bukan sekadar ujian fizikal semata-mata daripada menahan lapar dan dahaga, tetapi puasa juga adalah ibadah yang memantapkan spiritual dan kerohanian seorang hamba kepada Penciptanya. Bahkan puasa mengandungi pelbagai khasiat dari sudut perubatan yang telah diperakui oleh pakar-pakar sains kesihatan. Bahkan Allah merahsiakan betapa besarnya ganjaran orang yang berpuasa sebagaimana yang tersebut di dalam hadith:
“Setiap amalan anak Adam (manusia), diberikan ganjaran antara 10 hingga 700 kali ganda kecuali puasa. Sesungguhnya puasa adalah untukKU dan Akulah yang akan mengganjarinya” (riwayat Muslim).
Selain puasa, kita juga dianugerahi dengan amalan dan ibadah yang hanya dikhususkan dalam Ramadhan iaitu SOLAT SUNAT TARAWIH dan ZAKAT FITRAH.
2. Dibukakan pintu rahmat dan tertutup pintu-pintu kehinaan;
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datangnya Ramadhan, dibukakan pintu-pintu Syurga, ditutup pintu-pintu Neraka dan dibelenggu Syaitan-syaitan” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada hadith ini bahkan daripada berpuluh hadith-hadith yang lain jelas menunjukkan betapa Ramadhan adalah bulan yang kondusif untuk melipatgandakan ibadah kepada Allah. Memang sekiranya diamati, kita dapat merasakan kelainan dalam melakukan ibadah dalam bulan yang istismewa ini.
3. Diturunkan Al Quran sebagai manual hidup manusia;
Wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah pada 17 Ramadhan. Firman Allah: “Pada bulan Ramadhan diturunkan Al Quran sebagai petunjuk, dan keterangan daripada petunjuk serta pemisah (antara benar dan salah)” (Surah al Baqarah: 2: 185).
Al Quran adalah rujukan kepada hamba Allah yang beriman. Kandungan Al Quran sentiasa mendahului zamannya dan meliputi segenap aspek kehidupan manusia. Malah, sebagaimana yang telah terbukti dalam banyak hal, kandungan Al Quran lebih saintifik dan rasional daripada teori-teori ciptaan manusia. Al Quran mengandungi hukum-hakam, sejarah umat terdahulu dan nilai-nilai hidup sebagai pedoman kepada manusia. Orang yang membaca dan memahami Al Quran sentiasa mendapat ketenangan dan inspirasi yang tidak putus-putus dalam hidupnya.
4. Laylatul Qadar (Malam Keutamaan/Kemuliaan) yang lebih baik dari seribu bulan
Firman Allah: “Laylatul Qadr adalah lebih baik daripada seribu bulan” (Surah al Qadr: 97: 3). Laylatul Qadr adalah salah satu malam dalam bulan Ramadhan. Tiada siapa yang mengetahui malam manakah berlakunya laylatul Qadr. Walaubagaimanapun Rasulullah SAW memberikan penekanan untuk memburu laylalatul Qadr pada sepuluh malam yang terakhir Ramadhan khususnya pada malam-malam angka ganjil. Hikmahnya, supaya manusia berlumba-lumba dan berusaha untuk mengerjakan ibadah untuk mendapat ganjaran seolah-olah beribadah selama seribu bulan ataupun 83 tahun lebih.
Akhirnya, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Rasulullah SAW:
“Barang siapa yang dikurniakan Ramadhan sedangkan dosanya tetap tidak diampunkan, Sesungguhnya ia semakin jauh daripada rahmat Allah” (riwayat Ibn Hibban- Sahih)
Selamat Berpuasa dan Beribadah.
Ikhlas dari Warga SK Sungai Pelek.
Ikhlas dari Warga SK Sungai Pelek.
No comments:
Post a Comment